Khamis, 12 November 2009

Masjid Kg Laut

MASJID Kampung Laut adalah salah sebuah masjid yang tertua di negara ini dan terletak di Nilam Puri,Kelantan. Ia berfungsi sebagai pusat penyebaran dan pembelajaran agama Islam terutamanya di Kota Bahru, Kelantan.




Menurut Persatuan Sejarah Malaysia, bangunan ini dipindahkan dari tapak asalnya di Kampung Laut setahun selepas berlakunya banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 1966. Namun begitu, masjid ini dikatakan telah dibina lebih kurang 300 hingga 500 tahun yang lampau dan menurut sesetengah pendapat, ia merupakan masjid yang tertua jika dibandingkan dengan Masjid Demak yang terdapat di Kepulauan Jawa.



Sejarah dan asal-usul pembinaan



Terdapat tiga teori yang telah dikaitkan dengan asal-usul pembinaan Masjid Kampung Laut ini. Menurut teori yang pertama sebagaimana yang telah disampaikan oleh ahli sejarah tempatan iaitu Nik Man Bin Nik Mat, masjid ini telah didirikan oleh Raja Iman. Nik Man menyatakan bahawa lebih kurang 400 tahun dahulu terdapat seorang putera Muslim Sri Vijayan yang bernama Syed Mahmud di bawah gelaran Raja Muda Laksamana.



Putera ini belayar dari Kepulauan Jawa apabila terdapat pergaduhan untuk merebut takhta kerajaan. Kapal yang beliau naiki terperangkap dalam ribut taufan dan menghanyutkan baginda ke perairan pantai di Selatan Siam.



Kebanyakan pengikut baginda mula menetap di kawasan tersebut, manakala sebahagian lagi menjelajah ke seluruh pelosok kawasan tersebut sehingga bertemu sebuah perkampungan yang bergelar Kampung Laut.



Syed Mahmud yang menukar namanya kepada Raja Iman kemudiannya mendirikan sebuah wakaf sebagai tempat berteduh dan akhirnya ia berubah fungsi menjadi sebuah masjid.



Teori yang kedua pula dikemukakan oleh seorang ahli falsafah iaitu Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi. Menurut hasil kajian beliau, masjid ini telah didirikan lebih kurang 500 tahun yang lampau oleh penuntut agama Islam dari Champa. Penuntut ini bertugas sebagai penyebar agama Islam dari Jawa yang membawa bersama mereka pelan prototaip masjid dan bertujuan untuk menubuhkan tiga buah pusat Islam di seluruh pelusuk Nusantara ini.



Abdul Rahman berkata, dua daripada masjid yang telah terbukti didirikan ialah di Timur Jawa dan salah satunya ialah Masjid Demak dan Masjid Kampung Laut ini merupakan masjid yang pertama dibina oleh mereka. Kenyataan ini juga dibuktikan sahih kerana usia Masjid Kampung Laut didapati lebih awal dibina dari Masjid Demak di Pulau Jawa.



Teori yang ketiga pula dikemukakan oleh Ustaz Abdullah bin Muhammad yang menetap di Kampung Langgar, Kota Bahru. Menurut hipotesis beliau, masjid tersebut didirikan oleh dua orang wali dari sembilan orang wali yang terkenal ketika itu iaitu yang bergelar Sunang Giri dan Sunang Bonang. Ia dipercayai bahawa dua ahli sufi dari Jawa ini yang mendapat didikan di bawah Sheikh Mohamad Saman telah diarahkan untuk mendirikan masjid tersebut.



Walau bagaimanapun, Masjid Kampung Laut ini masih dipulihara sehingga kini dan keadaan asalnya masih dikekalkan sejak pemerintahan Sultan Mahmud pada awal kurun ke-20 lagi.



Perancangan dan konsep reka bentuk



Bahagian utama masjid ini terdiri daripada pelan berbentuk segi empat yang dilitupi dengan bumbung piramid yang disusun secara tiga tingkat. Bahagian bumbung yang paling atas ditinggikan sedikit arasnya dan diletakkan tingkap bagi memudahkan pencahayaan.



Bumbung ini dihiasi dengan motif ukiran buah betung. Keseluruhan lantai masjid ini ditinggikan lebih kurang satu meter dari aras tanah.



Ia tidak dilengkapi dengan serambi sebaliknya dikelilingi oleh dinding panel yang diperbuat daripada kayu pada bahagian dalamannya. Dinding panel tersebut ditebuk dan dijadikan bukaan bagi pintu dan tingkap.



Pengubahsuaian kemudiannya dijalankan dan sebuah ruang yang digelar balai lintang ditambah pada bahagian tepi masjid tersebut bertentangan dengan dinding mihrab dan ruang serambi besar juga turut disambungkan.



Dua buah ruang yang baru dibina ini didirikan rendah sedikit dari aras bahagian utama masjid tersebut. Ruang serambi kemudiannya ditambah pada bahagian timur masjid tersebut dan dikenali sebagai wakaf 憃rang kaya?



Frasa 憃rang kaya?ini dikhaskan untuk golongan pegawai kerajaan dan orang yang berpengaruh ketika itu. Menara yang dibina dari kayu ini disambungkan ke bahagian masjid dan boleh dilalui dari serambi pada bahagian timur yang pada asalnya terletak di tengah-tengah balai lintang tersebut. Ketinggian menara tersebut lebih kurang sama dengan aras puncak bumbung masjid utama.



Elemen reka bentuk dan bahan binaan



Keseluruhan rekabentuk masjid ini dibina daripada kayu cengal dan dilitupi dengan jubin singgora pada bahagian atap bumbungnya. Masjid ini tidak mempunyai sebarang ornamentasi atau ukiran yang khusus kecuali di bahagian mimbar yang terletak di dalam masjid. Walaubagaimanapun elemen butiran yang diadaptasikan pada rekabentuk masjid ini melambangkan kemahiran dan keupayaan hasil kraf tangan yang tinggi oleh perekanya.

Syd Hantar pada 24-8-2007 14:19



Seni bina Masjid Langgar



Oleh Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ([email]mindakritis@yahoo.com[/email])





Masjid Kampung Langgar, Kelantan merupakan salah satu masjid di Malaysia yang menggambarkan perkaitan dengan corak kehidupan di raja.



Terdapat sebuah kawasan perkuburan bersebelahan masjid ini yang dikhaskan untuk golongan kerabat di raja Kelantan.

Sejarah dan asal-usul pembinaan



Salah seorang waris terawal dalam keluarga kerabat diraja Kelantan ini ialah Long Yunus yang berjaya menyatukan kesemua jajahan takluk Kelantan pada tahun 1756. Namun begitu selepas kemangkatan baginda di Pelabuhan Galoh, Sireh beliau telah dimakamkan di kawasan perkuburan yang digelar 'langgar'. Kawasan ini dibangunkan dan dijadikan sebagai tanah perkuburan yang dikhaskan untuk orang kenamaan. Penempatan mulai dibuka dan ramai penduduk berhijrah ke kawasan ini. Oleh itu sebuah masjid didirikan pada akhir tahun 1870an semasa berlakunya peperangan saudara di antara kerabat diraja Kelantan tetapi telah berjaya dimenangi oleh Long Senik.



Semasa Long Senik mangkat pada tahun 1886, mayat beliau telah disemadikan di kawasan perkuburan di raja ini yang terletak bersebelahan dengan masjid ini.





Perancangan dan konsep rekabentuk



Masjid Langgar ini mempunyai struktur reka bentuk yang memanjang iaitu lebih kurang dua kali panjangnya dari ukuran lebarnya. Ia ditutupi dengan bumbung tiga lapis bertingkat dan bahagian puncaknya dihiasi dengan tebar layar yang disokong oleh bumbung berlapis dua tingkat yang memepat antara satu sama lain. Terdapat kayu bersilang atau 'pemeleh' ia

itu papan pemuka lebar yang diletakkan pada bahagian tepi tebar layar ini.



Bumbung berlapis tiga tingkat ini tidak mempunyai sebarang pembukaan di antaranya yang membolehkan per edaran udara dan pencahayaan semula jadi. Masjid ini mempunyai satu ruang utama. Hampir keseluruhan dari ruang lantainya dikelilingi oleh panel dinding yang diukir. Dinding panel ini mengelilingi kawasan mihrab dan ia merupakan kawasan yang paling ketara dalam masjid kerana aras lantainya ditinggikan.



Ruang ini dikhaskan untuk golongan kerabat diraja semasa lawatan mereka ke masjid ini. Ruang tertutup mempunyai pembukaan iaitu pintu di setiap tiga bahagian dindingnya kecuali di bahagian dinding mihrab dinding ini diukir dengan ayat al-Quran yang juga mengandungi kekisi bersilang yang dihiasi dengan corak yang formal sebagai lubang pengudaraan di atas setiap dindingnya. Bahagian yang kedua terdiri dari ruang anjung yang luas yang dikhaskan untuk golongan kebanyakan.



Dua bahagian serambi tersebut selalunya digunakan untuk kanak-kanak membaca al-Quran dan kelas agama. Setiap bahagian anjung ini dikelilingi oleh kayu pengadang melintang railing bagi memudahkan kanak-kanak menyandar semasa menjalankan aktiviti mereka. Upacara kenduri-kendara juga dijalankan di sepanjang ruang terbuka berhadapan dinding bertentangan mihrab. Bahagian belakang serambi dikhususkan untuk kaum wanita sahaja kerana aktiviti seperti memasak seringkali dijalankan semasa upacara keramaian ini. Ruang wuduk ini dipisahkan oleh sistem struktur yang berlainan tetapi masih dihubungkan dengan ruang masjid.



Keseluruhan ruang lantai utamanya ditinggikan daripada bahagian lain. Serambi di bahagian belakang agak rendah arasnya dari ruang serambi utama untuk mewujudkan hirarki dan perbezaan antara ruang terutamanya dari kawasan tertutup yang mana telah dikhaskan untuk kegunaan kerabat di raja.





Elemen reka bentuk dan bahan binaan



Struktur pembinaannya ialah daripada kayu cengal keras yang disokong oleh papak tiang konkrit. Jubin bumbungnya berasal dari Selatan China sewaktu negeri Kelantan terlibat dengan perdagangan di antara China dan Pattani. Masjid Langgar ini tidak mempunyai sebarang menara tetapi menggunakan sistem beduk tradisional untuk membuat pengumuman dan menyampaikan azan. Mimbar ini dikatakan sebagai takhta diraja yang dikhaskan untuk golongan atasan dan diukir dengan corak hiasan awan larat. Walau bagaimanapun jika dilihat pada corak ukirannya dan jenis struktur kayu kini, tidak terdapat sebarang perubahan dari tarikh asal pembinaannya.



* Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Syd Hantar pada 24-8-2007 14:20



Keunikan seni bina Masjid Dato?Undang Kamat



Oleh Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ([email]mindakritis@yahoo.com[/email])





MASJID di Simpang, Negeri Sembilan ini diberi nama sempena penaungnya dan pemilik tanah yang mewakafkan tanahnya untuk pembangunan masjid ini iaitu Dato?Undang Kamat.



Dato?Kamat ialah salah seorang Undang dari Luak di Negeri Sembilan. Ia merupakan hanya sebuah negeri sahaja dalam Malaysia yang masih mengekalkan sistem suku iaitu setiap sembilan suku yang menetap di Negeri Sembilan mempunyai Undang atau ketua suku.



Sejarah dan asal-usul pembinaan



Secara literal, Masjid Dato?Undang Kamat ini dikenali pada suatu masa dahulu dengan panggilan Masjid Batu disebabkan oleh struktur pembinaannya yang dibina daripada konkrit dan batu- bata.





Perancangan dan konsep reka bentuk



Ia mempunyai pelan dalaman berbentuk segi empat dengan mempunyai dua anak tangga ke pintu masuk utama. Masjid ini ditinggikan lebih kurang satu meter (m) tinggi dari aras tanah dan mempunyai lantai konkrit berjubin. Keseluruhan masjid ini berukuran 6 m x 6 m persegi dan ketinggian mencecah 7 m tinggi hingga ke paras puncak bumbung.



Bangunan ini mempunyai bumbung berlapis tiga tingkat dan penampilannya agak dominan bukan kerana disebabkan oleh rupa bentuk bumbungnya seumpama rumah ibadat tetapi disebabkan oleh ukiran kerawang pada perabung yang menggambarkan motif sulur paut tumbuhan.



Ruang mihrab ini agak terkeluar daripada ruang sembahyang utama yang ditutupi dengan kekubah. Ruang solat utama mempunyai empat tiang di bahagian tengahnya untuk menyokong dua lapis bumbung di bahagian atasnya.



Ruang sembahyang utama ini mempunyai sembilan pembukaan di tiga bahagian tepi dindingnya. Ia dikelilingi serambi berlantai jubin yang terbuka ke arah ruang kolam wuduk yang berada di arah kanan dinding kiblat.



Elemen reka bentuk dan bahan binaan



Masjid ini tidak mempunyai menara tetapi sebuah rumah taboh di bahagian kanan yang berada beberapa meter dari kolam wuduk. Rumah taboh ini agak kecil berukuran 1.5 meter persegi yang ditinggikan arasnya lebih kurang setengah meter dan disokong oleh empat struktur tiang kayu. Masjid ini secara keseluruhannya dibina menggunakan keupayaan bahan dan teknologi terkini iaitu daripada struktur konkrit dan bata.

Syd Hantar pada 24-8-2007 14:23



Masjid Kampung Hulu



Oleh Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ([email]mindakritis@yahoo.com[/email])

Penyelidik Prof. Madya Kamaruddin Mohd. Ali



MASJID Kampung Hulu merupakan masjid tertua di Malaysia dan ia terletak di bandar raya bersejarah Melaka. Masjid ini telah dibina pada 1728 dan didirikan oleh Datuk Shamsudin yang berketurunan Cina Muslim. Ia juga berfungsi sebagai pusat penyebaran dan pendidikan agama Islam terutamanya semasa zaman penjajahan Belanda.





Sejarah dan asal-usul pembinaan





Shamsudin adalah anak seorang Kapitan Melayu iaitu Datuk Harun yang telah dilantik oleh pihak Belanda. Kapitan tersebut berketurunan Cina dan pada asalnya dilahirkan dan dibesarkan di negara China. Pun begitu, beliau telah meninggalkan tanahairnya selepas tercetus pergaduhan antara keluarga dan kemudiannya belayar ke gugusan Kepulauan Melayu.





Bahtera yang dinaiki oleh Harun dilanda ribut dan karam berdekatan dengan perairan Melaka. Namun, beliau diselamatkan oleh seorang muazin Melayu dan kemudiannya dijadikan anak angkat serta dikahwinkan dengan anak perempuan muazin tersebut.





Beliau kemudiannya melibatkan diri secara aktif dalam urusan perdagangan serta aktiviti keagamaan dan menjadi salah seorang saudagar yang terkenal di Melaka. Usaha ini kemudiannya diteruskan oleh anak beliau iaitu Shamsudin yang mana sering mewakafkan tanah untuk tujuan pembinaan pusat-pusat keagamaan.





Pembinaan Masjid Kampung Hulu ini yang menelan belanja lebih kurang setengah juta ringgit juga merupakan antara salah satu sumbangan beliau terhadap perkembangan Islam di rantau ini. Ia terletak di kawasan yang agak tertutup menggambarkan asal-usul penaungnya yang terdiri dari golongan atasan.





Walaupun masjid ini mempunyai kawasan tanah yang agak besar pada awalnya tetapi keluasan tanah ini telah berkurangan setelah ditipu oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan ruang utama masjid, tempat wuduk, menara dan pagar utama disempitkan ke dalam tapak pembinaan yang lebih kecil.





Perancangan dan konsep reka bentuk





Ruang utama masjid ini tidak disokong oleh tiang sebaliknya ia ditinggikan oleh papak lantai konkrit lebih kurang setengah meter tinggi dari aras tanah.





Papan lantai tersebut dihiasi dengan jubin seramik berasaskan motif bunga-bungaan. Terdapat susur tangga dari besi mengelilingi keseluruhan ruang serambi masjid tersebut. Dinding kukuh yang berukuran dua meter tinggi menyokong struktur bumbung yang dilapisi secara tiga tingkat.





Setiap sudut bagi aras bumbung masjid ini berubah menurut konsep pembinaan kuil Cina. Pada setiap pangkal perabung bumbung yang dibina dari konkrit dihiasi dengan motif bunga-bungaan agar kelihatan bersesuaian dengan mahkota atau 憁astaka?yang menghiasi puncak bumbung. Ruang sembahyang utama dikelilingi dengan dinding bata berukuran 12 meter x 12 meter.





Terdapat empat tiang yang dibina dari kayu belian di bahagian tengah untuk menyokong dua lapisan bumbung tersebut. Tiang tersebut diukiri motif tumbuh-tumbuhan. Terdapat tiga pintu bertentangan dengan bahagian mihrab dan terdapat dua lagi di bahagian sisi.





Empat buah tingkap yang dipasang dengan palang besi terdapat di bahagian sisi kiblat. Tiga ruang serambi yang berukuran 3 meter mengelilingi ruang sembahyang. Pada setiap penghujung ruang serambi tersebut terdapat ruang untuk menyimpan barang.





Tiga buah serambi yang terdapat di sisi masjid ini mempunyai anak tangga yang dilengkapi dengan tempat wuduk bertentangan dengan dinding kiblat. Ruang wuduk ini terletak agak jauh sedikit dari paksi utama laluan untuk ke ruang mihrab dan dari pintu masuk utama.





Pagar masuk utama ke masjid ini merupakan struktur pembinaan yang terpisah daripada pelan keseluruhan reka bentuk masjid ini. Ia didirikan secara dua tingkat dimana terdapat tabuh yang seringkali dipalu setiap kali masuk waktu untuk mendirikan solat.





Tabuh tersebut digantung pada struktur bumbung yang berbentuk piramid di atas pintu masuk utama ke ruang laman masjid. Menara masjid ini juga tidak bersinambungan dengan konteks keseluruhan masjid dari aspek nilai estetik dan peletakannya. Ia didirikan secara tidak berpaksi dengan kedudukan asal masjid tersebut dan dibina dalam bentuk kon segi lapan. Dinding yang mengelilingi menara ini mengelilingi anak tangga ke ruang azan di bahagian atas.





Elemen reka bentuk dan bahan binaan





Masjid ini melambangkan elemen reka bentuk yang dipengaruhi oleh budaya Cina serta ornamentasi yang diadaptasikannya berdasarkan kepada ciri-ciri kebangsawanan. Ia juga merupakan antara pembinaan masjid yang terawal dibina menggunakan struktur konkrit serta memiliki rupa bentuk bumbung piramid bertingkat seperti yang terdapat pada senibina pagoda Cina.



Motif ukiran yang digunakan juga berasaskan kepada elemen organik yang menggambarkan keindahan alam semulajadi.





* Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.